Tabiat pemakanan Burung_Bangau

Dalam fasa putihnya ini, bangau kelihatan hampir serupa dengan burung Pucung Batu (Inggeris: reef egret, nama sains: Egretta sacra) yang juga berbulu putih tetapi boleh juga terdapat dalam bulu kelabu tua. Bagaimanapun, kedua-dua spesies bangau dan Pucung Batu ini dapat dibezakan menerusi tabiat dan persekitaran fizikalnya iaitu pucung batu suka bersendirian dan mendiami kawasan pesisir manakala bangau hidup berkelompok di sawah atau padang ragut terutamanya di sekililing kerbau dan lembu.

Bangau gemar bertenggek di atas lembu atau kerbau atau berada tidak jauh dari mamalia ini untuk mencari makanan seperti kutu atau tempiras di badan kerbau dan lembu serta belalang dan serangga lain yang bertempiaran lari apabila kerbau dan lembu meredah rumput-rumpai di sawah. Dari tabiat inilah lahirnya nama Inggerisnya "cattle egret". Burung bangau juga gemar mencari ikan di kawasan berair cetek seperti lopak dan kubang di sawah padi.